CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sabtu, 1 November 2008

PUTRAJAYA DAN CYBERJAYA: KORIDOR RAYA MULTIMEDIA

Perkembangan paling penting dalam KLK yang akan mewujudkan implikasi yang amat mendalam terhadap pertumbuhan, fungsi, dasar dan strategi pembangunan Kuala Lumpur ialah pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC). MSC merupakan koridor berukuran 50 x 15 kilometer, bermula daripada KLIA di selatan ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sebelah utara. Di dalam koridor MSC tersebut terdapat dua pusat strategik iaitu Cyberjaya sebagai pusat multimedia dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran. Di samping itu, terdapat juga 6 enam pusat utama iaitu Bandar Lapangan Terbang sebagai pusat perkhidmatan bagi menyokong pembangunan KLIA, Kampung Siber sebagai pusat pembangunan perusahaan kecil dan sederhana tempatan, Taman Teknologi Tinggi sebagai pusat yang menyediakan persekitaran bagi industri berteknologi tinggi, Tele- Pinggir Bandar (Tele-Suburb) sebagai kawasan perumahan dan pendidikan pintar serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan sebagai pusat institusi akademik serta penyelidikan dan pembangunan korporat.

Terdapat 5 bandar siber (cyber cities) di dalam MSC di mana syarikat-syarikat berstatus MSC boleh menempatkan premis perniagaannya. Bandar siber tersebut adalah KLCC, Menara Kuala Lumpur, Taman Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia – Malaysia Technology Development Corporation (UPM-MTDC) dan Cyberjaya. Multimedia Development Corporation (MDC) akan mengaudit kesemua bandar siber tersebut setiap tahun agar mematuhi piawaian infrastruktur fizikal dan komunikasi bertaraf dunia.

Putrajaya dan Cyberjaya dirancang untuk mempunyai unjuran penduduk seramai 500,000 pada tahun 2020. Pembangunan MSC dijangka akan memberi kesan kepada penghijrahan penduduk dan pekerjaan. Kesan utama MSC akan menyebabkan pertumbuhan pekerjaan dan penduduk yang pesat di KLK serta negara secara keseluruhan. Pertumbuhan aktiviti-aktiviti global akan mempercepatkan kadar penghijrahan masuk warga asing terutama yang mempunyai kepakaran khusus. Aktiviti Bandar Raya akan dirangsang oleh pembangunan dalam MSC melalui pembangunan penggunaan dan pengeluaran serta pertumbuhan dalam perkhidmatan eksport.

Sungguhpun kejayaan pembangunan MSC mungkin menyumbang kepada pertumbuhan pekerjaan di Kuala Lumpur, tetapi ini tidak menjamin bahawa penghijrahan keluar yang cepat dari Bandar Raya dapat dibendung. Dasar yang berkesan adalah perlu untuk mendorong lebih ramai pekerja, terutama mereka yang berpendapatan tinggi dan berkemahiran untuk tinggal dalam Bandar Raya bagi meminimumkan penghijrahan keluar bersih. Status MSC yang berorientasi global dan bertaraf dunia adalah sangat penting dalam menentukan asas untuk wawasan dan orientasi pembangunan masa hadapan Bandar Raya dan keseluruhan KLK.

0 ulasan: