CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sabtu, 1 November 2008

MAJLIS PENGISYTIHARAN PUTRAJAYA SEBAGAI WILAYAH PERSEKUTUAN

Oleh: :DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat :DATARAN PERDANA, PUTRAJAYA
Pada :01/02/2001



Hari ini adalah satu lagi hari yang bersejarah dalam pentadbiran negara Malaysia. Ini kerana pada hari ini Putrajaya Bandar Pusat Pentadbiran Negara yang mengabadikan jasa dan kenangan terhadap Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, menjadi Wilayah Persekutuan. Kerajaan Persekutuan merasa amat gembira kerana berjaya mewujud dan membina Putrajaya serta selanjutnya mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi menyerahkannya kepada Kerajaan Pusat untuk dijadikan Wilayah Persekutuan. Dengan terwujudnya Putrajaya bermakna Kerajaan akan dapat mempertingkatkan lagi khidmatnya kepada rakyat dengan lebih cekap, cepat dan berkesan. Dengan itu juga pembangunan yang lebih pesat akan dapat dinikmati secara langsung oleh Negeri Selangor dan secara amnya oleh seluruh negara.

2. Putrajaya seluas 4,581 hektar empat tahun lalu merupakan sebuah ladang kelapa sawit dan getah bernama Perang Besar yang tidak banyak menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara. Terdapat hanya 60 buah rumah sahaja untuk pekerja ladang. Kini dalam masa yang singkat, Putrajaya mempunyai 26 blok bangunan pentadbiran dan 42 blok lagi akan siap dibina pada tahun 2003. Jumlah penduduk hingga kini telah mencapai 7,250 orang yang terdiri daripada 1,450 keluarga dan 1,500 unit rumah. Pada tahun 2010 sebanyak 67,000 unit rumah kediaman akan siap dibina. Rumah kediaman ini akan menampung penghuni daripada kedua-dua sektor Kerajaan dan swasta. Jelas tempat ini akan menjadi satu "growth centre" yang pesat membangun dan akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan negara secara langsung dan tidak langsung.

3. Putrajaya dibina berasaskan tiga konsep bersepadu iaitu mesra alam, mesra manusia, dan melambangkan hubungan manusia dengan pencipta-Nya. Putrajaya juga dibina dengan segala ciri-ciri kemajuan yang dihasratkan oleh Malaysia untuk memacu ke arah kemajuan yang melewati rangka Wawasan 2020. Ia merupakan pusat pentadbiran terbaru yang dilengkapi dengan infrastruktur tercanggih daripada segi komunikasi dan urusan pejabat dan diharap dapat menghasilkan pentadbiran yang moden, cekap, efisien dan berkesan serta berkemajuan. Bagi penduduknya pula, mereka juga disediakan dengan suasana dan kemudahan yang membentuk cara hidup yang selaras dengan tahap kemajuan negara. Cara hidup ini termasuklah alam persekitaran yang nyaman, indah, sihat dan mudah berinteraksi serta ceria dan selamat. Adalah juga diharapkan cara hidup yang begini akan dapat mempengaruhi bukan hanya pertumbuhan kawasan kediaman baru tetapi juga komuniti lain yang sedia ada supaya bergerak ke arah yang sama, iaitu mengalih cara hidup ke tahap yang lebih sihat dan selesa dan tidak seperti dahulu di mana keadaan bukan sahaja tidak selesa tetapi juga tidak bersih, tidak sihat, tidak selamat, terlalu padat dan tidak teratur - iaitu faktor-faktor yang menimbulkan banyak masalah sosial dan kesihatan.

4. Kerajaan Persekutuan dengan mewujudkan Putrajaya dapat secara langsung menggerakkan pembangunan di kawasan persekitarannya dengan membina infrastruktur- infrastruktur, pusat-pusat perniagaan dan kemudahan- kemudahan sosial. Ia juga dapat memudahkan perhubungan dengan lebih cekap dan cepat dengan Kerajaan-kerajaan Negeri. Lebih-lebih lagi kerana kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan KLIA, Cyberjaya dan Kuala Lumpur. Apabila siap sepenuhnya kelak, Putrajaya juga akan dapat dihubungi secara terus dengan rel dari semua bahagian Semenanjung melalui rangkaian rel berpusat di Kuala Lumpur Central.

5. Di Malaysia kita tidak hanya membangun sebuah rumah atau sederet kedai. Kita bangunkan bandar-bandar baru dan kita baharui seluruh bandar lama sebagai satu perkara biasa. Demikian Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, Puchong, Serdang, Bandar Muazam Shah, Bandar Baru Nilai dan banyak lagi. Penduduk bandar-bandar ini kerap kali berjumlah ratusan ribu. Pembangunan bandar- bandar ini tidak merugikan mana-mana pihak - tidak Kerajaan dan tidak swasta. Semua pihak meraih keuntungan dan faedah. Oleh kerana aktiviti perniagaan memang tinggi dalam bandar berbanding dengan luar bandar dan estet, ramailah rakyat yang mendapat peluang bekerja dan berniaga. Sudah tentu hasil yang dapat dikutip oleh Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat bertambah dengan banyaknya. Dan hasil ini dipulang balik kepada masyarakat bandar berkenaan dan seluruh negara melalui berbagai- bagaijenis pembangunan awam. Sebenarnya pembangunan bandar-bandar menyumbang dengan banyaknya kepada pertumbuhan ekonomi negara.

6. Bagi mereka yang faham putaran ekonomi, pembangunan bandar harus disambut baik. Amatlah aneh apabila Kerajaan membangunkan Putrajaya tuduhan dibuat bahawa ia adalah satu pembaziran kononnya. Kenapakah tidak ada tuduhan seperti ini apabila Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan bandar-bandar lain dirancang dan dibangunkan? Jawapannya ialah politik yang mencari isu untuk memburukkan Kerajaan.Kepentingan negara diketepikan kerana keutamaan kepada politik pihak-pihak tertentu. Hanya kerana kepentingan pihak ini, mereka sanggup bersubahat dengan orang asing pun dan menuduh kononnya Putrajaya adalah projek mega dan pembaziran.

7. Putrajaya bukan didirikan untuk pemimpin-pemimpin Kerajaan hari ini. Kita tidak ingin melihat tiap kali pemimpin baru ditabalkan maka rumah baru perlu dibina untuknya, atau lebih buruk lagi bandar baru dijadikan ibu kotanya. Putrajaya adalah untuk semua pemimpin akan datang, pemimpin sebuah negara yang sudah mencapai tahap pembangunan yang tinggi, yang akan menjadi negara maju, insya-Allah. Bangunan-bangunan yang didirikan bukan sahaja untuk keselesaan pemimpin tetapi juga rakyat negara ini. Rakyat negara ini akan mengguna bahagian-bahagian tertentu di bangunan-bangunan ini. Mereka bukan sahaja memerlukan keselesaan tetapi juga mereka perlu berbangga dengan bangunan negara sendiri.

8. Apakah kita membazir dengan mendiri Putrajaya? Kita mambazir jika kita belanja untuk sesuatu yang tidak berguna. Kita boros jika kita belanja lebih daripada kemampuan kita. Kita boros dan membazir jika kita hutang untuk mendiri sesuatu yang tidak berguna.

9. Sebenarnya pembangunan Putrajaya, KLIA dan projek- projek besar lain tidak sedikit pun menjejaskan kewangan negara. Sebab itu hanya Malaysia sahaja yang berjaya memulih ekonomi dan kewangan negara setelah diserang oleh penyangak matawang tanpa meminjam dari IMF dan menyerah ekonomi negara kepada agensi-agensi asing. Kita guna wang kita sendiri untuk memulih negara kita sambil kita tidak lokek dalam membayar hutang lama kita, sambil kita teruskan dengan pembangunan negara kita.

10. Kita dapat menaikkan gaji, membayar bonus, mengatasi kemiskinan dan meneruskan penyediaan berbagai- bagai projek infrastruktur. Demikianlah kemampuan kita menangani percubaan untuk menghancurkan ekonomi negara kita, sehingga ramai rakyat tidak pun merasai tertekan kerana kegawatan. Justeru itu ramai yang tidak bersyukur dengan terselamatnya negara ini daripada malapetaka yang menimpa negara-negara lain yang telah diserang oleh penyangak matawang bersama dengan kita.

11. Hari ini ekonomi dan kewangan negara kita cukup kukuh walaupun Putrajaya dan projek-projek lain terus dibangunkan. Sebenarnya jika kita tawarkan pembangunan Putrajaya ini kepada swasta, mereka akan berebut-rebut untuk membangunkannya. Mereka tentu tahu mereka akan memperolehi keuntungan yang besar kerana ini adalah sebenarnya projek komersil yang terbesar dalam negara. Sebaliknya Kerajaan memilih untuk memberi projek gergasi ini kepada syarikat milik Kerajaan.

12. Jika ada pembaziran maka sudah tentu kewangan negara kita tenat dan bermasalah. Tetapi sepertimana semua tahu kita bukan sahaja mampu membiayai perbelanjaan negara tetapi rizab kita lebih tinggi dari sebelum kegawatan.

13. Sebenarnya jika kita tunduk kepada pengkritik hari ini kita tidak akan ada Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara Selatan, kereta nasional, KLIA, Putrajaya dan projek-projek lain lagi. Ingatlah apabila orang asing mengkritik kita sebabnya ialah kerana mereka kecewa mereka tidak dapat projek-projek ini. Orang Malaysia yang menyambut pengkritik asing ini hanya membenar diri menjadi alat kepentingan asing. Sudah tiba masanya kita utamakan kepentingan negara dan menangkis hasutan luar. Negara kita adalah tanggungjawab kita.

14. Bagi pihak Kerajaan Pusat saya ingin menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Sultan Selangor dan terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang telah bersetuju menyerah kawasan seluas 4,581 hektar ini untuk dijadikan kawasan Wilayah Persekutuan Kerajaan Pusat. Saya sedar bahawa walaupun kawasan ini tidak luas tetapi pada prinsipnya penyerahan kawasan oleh negeri kepada Pusat adalah satu pengorbanan. Tetapi demikianlah komitmen negeri-negeri kepada konsep Persekutuan sehingga Selangor sanggup membuat pengorbanan ini. Negara berterima kasih kepada negeri Selangor kerana ini.

15. Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan satu lagi petanda bahawa proses ke arah Wawasan 2020 sedang berjalan dengan baik. Kerananya sebuah negara Malaysia yang maju akan menjadi satu kenyataan.

16. Perjanjian penyerahan Putrajaya daripada Kerajaan Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan dan menjadinya Wilayah Persekutuan telah pun ditandatangani pada 7 November tahun 2000.

17. Bagi melangsungkan maksud perjanjian tersebut, maka dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, saya mengisytiharkan bahawa mulai dari hari ini, iaitu satu haribulan Februari, tahun Masihi Dua Ribu Satu, bersamaan Tujuh Zulkaedah, Tahun Hijrah Seribu Empat Ratus Dua Puluh Satu, Wilayah Persekutuan Putrajaya yang mengandungi kawasan-kawasan yang ditunjukkan dalam Pelan Warta No. P.P. 2-2000, ditubuhkan.

18. Saya berdoa Wilayah Putrajaya ini akan kekal sebagai pusat pentadbiran Negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Sumber : Pejabat Perdana Menteri

0 ulasan: